Sunday 26 April 2015

Kenapa Ahli Keluarga Wajib Belajar Menjaga Pesakit Lumpuh Bermula Dari Hospital ?

Tujuan saya menulis artikel ni bukan untuk memburuk-burukkan sesiapa atau menyedarkan anda apa itu tanggungjawab. Ia sekadar luahan hati sahaja. Banyak individu sekarang yang lepas tangan untuk menjaga ahli keluarga mereka yang sakit. Hinggakan pihak hospital terpaksa mencari dan menghubungi ahli keluarga untuk menerangkan keadaan pesakit dan prosedur yang akan dilakukan.  

Komitmen pekerjaan ? takkanlah tiada masa untuk melawat dan menjaga ahli keluarga yang terlantar. Saya akui bukan mudah sebenarnya menjaga pesakit yang sakit terlantar ni. Perlu banyak kesabaran. Bermula dari hospital, anda tak perlu ambil kursus apapun untuk belajar jaga ahli keluarga yang sakit. Cukuplah rasa tanggungjawab dan keinginan yang kuat untuk membantu.

Biasanya pesakit stroke mengambil masa yang cukup lama untuk sembuh. Sesetengah mereka mungkin akan berjalan semula dan sesetengah pesakit memerlukan penjagaan sepanjang hayat mereka. Mereka tak mampu makan seperti biasa dan tak dapat bantu bersihkan diri sendiri.

Saya pernah melihat satu kes dimana pesakit yang  mempunyai sejarah lumpuh seluruh badan selama 5 tahun terlantar di rumah. Beliau dimasukkan ke hospital kerana aduan keluarga pesakit sesak nafas. Tubuh pesakit mempunyai banyak jangkitan fungus ataupun kulat pada tubuh. Keruping kulit berjatuhan. Luka juga semakin membesar pada  bahagian punggung pesakit. Ini bukti kurang sokongan penjagaan dari ahli keluarga. Sungguh menyedihkan.

Sesetengah individu pula terlalu mengharapkan jururawat untuk membuat nursing care pesakit seperti memandikan pesakit dan membersihkan najis mereka. Jika pesakit ialah orang tua kita, tidak salah kita berbakti kepada mereka. Ingat, semua orang akan jadi sakit dan tua. Jika anda panjang umur, anda juga berkemungkinan akan berada ditempat yang sama seperti mereka. Masa tu, janganlah berharap pada ahli keluarga. Saya kagum dengan sifat sesetengah remaja, anak-anak yang masih taat menjaga orang tua dan ahli keluarga mereka yang sakit. Mereka sanggup mempelajari pelbagai nursing care untuk memenuhi keperluan ahli keluarga yang sakit. Tiada apa yang perlu dirisaukan apabila pesakit diberi kebenaran discaj. Sokongan dari keluarga pesakit sebenarnya sangat penting.

Bila masa memandikan pesakit, ada ahli keluarga yang berniat membantu sudah cukup bagus. Disinilah anda akan belajar bagaimana membersihkan mereka dan menukar pampers. Ada pula yang cepat-cepat beredar bila jururawat ingin memandikan pesakit. Tak minat pun ambil tahu. Isu yang sama bila pesakit buang air besar. Alasan yang biasa didengar ? Biarlah jururawat yang buat. Itukan kerja mereka. Ya, Kami telah membantu ahli keluarga anda yang sakit dengan melakukan pekerjaan ini. Memenuhi keperluan harian mereka. Ini mungkin bukan pekerjaan anda. Tapi, tanggungjawab anda bagaimana? Jika mereka balik ke rumah dengan keadaan yang masih sama. Masih terlantar dan perlu bantuan, adakah anda akan terkial-kial mencari jururawat untuk menukar pampers?

Takut membantu mereka ? Sesetengah pesakit yang balik ke rumah masih menggunakan tiub untuk minum susu. Tak kurang juga yang balik dengan trachy (Lubang pada bahagian tengah leher). Mereka memerlukan suction lebih kerap. Sesetengah ahli keluarga tak mahu belajar semua ni kerana takut tersalah langkah. Jawapannya mereka akan tahu juga bila balik ke rumah. Kesilapan yang berlaku di rumah atau sebarang kemusykilan anda, tak akan ada jururawat tempat anda bertanya. Nak belajar, anda tak perlu takut. Perhatikan bagaimana jururawat melakukannya. Belajar dari mereka. Adakah anda akan dimaki hamun jika bertanya ? Pastinya tidak.

Pesakit yang diberi kebenaran pulang ke rumah oleh doktor juga, terpaksa delay. Tujuannya agar keluarga mengambil masa untuk mempelajari penjagaan nursing care pesakit. Sedangkan ramai pesakit di luar sana yang memerlukan katil hospital untuk menjalani rawatan. Anda mungkin tak tahu hal ini.

Satu kes yang pernah berlaku juga ahli keluarga hanya muncul apabila pesakit diberi kebenaran pulang. Hendak menghubungi ahli keluarga pun dimaki hamun. Alasannya sibuk dengan pelbagai hal. Discaj hanya dapat dilakukan selepas beberapa hari. Pesakit pula menggunakan tiub susu untuk minum. Akibatnya, pesakit dimasukkan semula ke hospital kerana mengalami aspirasi paru-paru. Inilah akibatnya.

Suatu pengalaman saya semasa sedang sibuk bekerja, ada ahli keluarga yang memanggil untuk mencuci najis pesakit. Saya tak kisah jika keluarga pesakit memerlukan bantuan. Tapi apa yang berlaku sungguh mengecewakan, hanya seorang ahli keluarga yang menghulurkan bantuan. Sedangkan ramai ahli keluarga berada disitu. Yang lainnya hanya menjadi pemerhati dan juri. Rupanya tak semua orang sanggup melakukan pekerjaan ini.

Jika masih ada sedikit rasa tanggungjawab , belajarlah ketika anda berada dalam wad. Ini bukan alasan agar  jururawat boleh goyang kaki tapi untuk membantu anda menjaga pesakit apabila pulang ke rumah nanti. Tidaklah anda terkial-kial. Anda juga sebenarnya adalah seorang jururawat untuk mereka.
Renung-renungkan.


2 comments :

  1. Ada senarai kelengkapan asas yang diperlukan untuk menjaga pesakit seperti tilam?

    ReplyDelete
  2. Semoga tabah sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang lumpuh dan strok ni.

    ReplyDelete

Pesanan Editor ^_^

Sebarang komen yang berbaur spam, mengandungi link hidup / mati serta tujuan promosi dan pengiklanan tidak akan diterbitkan. Jika berminat untuk beriklan, mohon baca ruangan advertorial.