Thursday 18 June 2015

Kenapa Patung Ball Jointed Doll ( BJD) Sangat Diminati

Baru-baru ini saya menemui tentang patung ball jointed doll. Dikalangan penggemar ataupun pereka patung ini, ia lebih dikenali sebagai Bjd.

Kenapa patung ini sangat diminati ?

Saya percaya kebanyakan individu sukakan koleksi yang comel dan unik. Kriteria ini sememangnya dimiliki oleh bjd. Ukiran wajah dan bentuk tubuh yang mengaggumkan. Ia bagaikan replika manusia mini yang sempurna. Patung comel yang luar biasa. Lihat contoh gambar bjd dibawah. Anda pasti terpegun !




Saya jelaskan serba sedikit mengenai patung Bjd.

Apa itu patung BJD ?

Ball jointed doll dalam bahasa melayu bermaksud patung yang bersendi. Oleh itu, patung ini boleh digayakan dalam pelbagai aksi seperti duduk, berdiri dan sebagainya. Sama seperti manusia, bola sendi dipasang pada bahagian bahagian asas sendi seperti pergelangan tangan, siku, pinggang dan lutut untuk memudahkan pergerakannya dilentur.



Penghasilan patung bersendi ini bermula dari negara jepun. Ia diinspirasikan oleh watak-watak animasi jepun yang comel-comel belaka.

Patung BJD terbahagi kepada 3 kategori saiz, iaitu :

SD - sekitar 60cm ataupun 1/3 saiz manusia dewasa
MSD - Sekitar 40 cm ataupun 1/4 saiz manusia dewasa
Tiny - Biasanya 35cm ataupun lebih kecil

Apapun saiz Bjd tidaklah dihasilkan secara spesifik mengikut kategori. Pelbagai pereka Bjd dari seluruh dunia menghasilkan Bjd pelbagai saiz dari sekecil 9.8cm hinggalah setinggi lebih dari 80cm.

Walaupun rupa patung ini lebih kurang sama seperti patung plastik barbie, hakikatnya ia bukanlah plastik. Bjd dihasilkan daripada polyurethane resin. Lebih berat daripada plastik. Ia bagaikan patung porcelain yang fleksibel.

Namun begitu, ada juga bjd yang dihasilkan menggunakan bahan seperti porcelain, polymer clay, dry clay dan sebagainya. Minat yang mendalam terhadap anak patung bjd membuatkan pelbagai individu mereka bjd secara d.i.y.. Bagi mereka yang berkebolehan mengukir, mereka patung bjd mungkin mudah sahaja.


Berapa harga bjd ?

Walaupun bjd hanya sekadar anak patung, namun harga yang ditawarkan adalah cukup mahal. Iaitu bermula sekitar Rm300 hingga mencecah Rm3000. Ia bergantung pada bahan yang digunakan, set pakaian, mekap patung bjd dan aksesori.

Pengumpul koleksi BJD menganggap patung ini seperti sahabat istimewa. Mereka akan menukar pakaian BJD, menyediakan aksesori BJD, malah ada penggemar yang menjadikan BJD sebagai peneman untuk tidur. BJD diberi personaliti istimewa daripada pemilik mereka, contohnya diberi nama.

Beli patung bjd di malaysia ? 

Sejujurnya, saya sendiri kurang arif mengenai penjualan bjd di malaysia. Mungkin disebabkan faktor shipping dan harga patung yang mahal.

Sebarang penambahan, anda boleh tambah ataupun kongsi laman jualan bjd di malaysia pada ruangan komen.


~Terima kasih kerana membaca ^_^



No comments :

Post a Comment

Pesanan Editor ^_^

Sebarang komen yang berbaur spam, mengandungi link hidup / mati serta tujuan promosi dan pengiklanan tidak akan diterbitkan. Jika berminat untuk beriklan, mohon baca ruangan advertorial.